Malaysia Dateline

1,813 murid di Selangor hilang ibu, bapa, penjaga akibat Covid-19

Seramai 1,813 murid di Selangor kehilangan ibu, bapa atau penjaga akibat Covid-19 dengan 55 daripadanya menjadi anak yatim piatu kerana kehilangan ibu dan bapa.

Daripada jumlah itu, 1,192 daripada murid terbabit kematian bapa manakala 536 kehilangan ibu bahana pandemik tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata tiga daerah di Selangor yang mempunyai bilangan anak yatim tertinggi akibat Covid-19 ialah daerah Hulu Langat, Klang dan Petaling Perdana.

“Pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang mendalam terhadap rakyat Malaysia khususnya murid sekolah yang telah kehilangan ibu, bapa atau penjaga.

“Ramai yang telah menjadi anak yatim dan tidak kurang jua telah menjadi anak yatim piatu kerana kehilangan ibu dan bapa sekaligus,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dr Siti Mariah menjawab pertanyaan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) berhubung rancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu golongan murid yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, kerajaan negeri amat perihatin dan empati dengan nasib yang menimpa kanak-kanak terbabit.

Terdapat lima langkah sokongan kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu kes kanak-kanak yang memerlukan penjagaan, perlindungan dan pemeliharaan:

1. Membuat pengesanan dan menjalankan siasatan latar belakang waris dan keluarga terdekat atau mana-mana orang yang layak dan sesuai untuk menjaga kanak-kanak. Sekiranya tiada waris atau tiada orang yang layak dan sesuai dikenal pasti untuk menjaga kanak-kanak, mereka akan ditempatkan sementara institusi perlindungan kanak-kanak JKM.

2. Langkah susulan JKM bagi kes kanak-kanak yang memerlukan penempatan tetap adalah berasaskan prinsip kepentingan terbaik bagi kanak-kanak, pemeliharaan kanak-kanak berasaskan keluarga dan kemasukan ke institusi sebagai langkah terakhir. Setakat ini, semua kes anak yatim atau yatim piatu akibat Covid-19 di Selangor dijaga oleh waris terdekat masing-masing.

3. Selain itu, sokongan sosio-emosi dan pemantauan kes kanak-kanak dan keluarga yang berisiko tinggi juga dilakukan oleh pelindung kanak-kanak dengan dibantu oleh Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Daerah (PPKKD).

Terdapat 11 PPKKD di negeri Selangor dengan keanggotaan seramai 77 orang individu sukarela iaitu purata 7 orang di setiap Daerah. Ahli PPKKD ini dipilih dari pelbagai latar belakang yang bersesuaian untuk membantu JKM dan dilantik oleh Menteri di bawah Akta kanak-kanak 2001 untuk tempoh selama tiga (3) tahun.

4. Seterusnya, bagi kes yang memerlukan bantuan kewangan, JKM menyediakan Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Anak Pelihara (BAP) atau Bantuan Am Negeri (BA) mengikut kelayakan bantuan secara bulanan.

Sehingga Oktober 2021, terdapat 4,205 kes penerima BKK dengan perbelanjaan RM14,694,700.00 dan 108 kes BAP dengan perbelanjaan RM329,250.00. Manakala, terdapat 5,261 kes BA dengan perbelanjaan sebanyak RM10,966,900.00.

5. Dalam situasi kanak-kanak atau keluarga yang menghadapi krisis, JKM juga menawarkan sokongan psikologi dan kaunseling bagi mendengar pemasalahan klien dan mengadakan intervensi untuk mengurangkan tekanan emosi atau mendapatkan solusi yang sesuai dengan klien. Sehingga Oktober 2021, sebanyak 1,737 kes sokongan psikologi dan kaunseling telah dikendalikan oleh JKM Selangor.

Jelas Dr Siti Mariah lagi, seramai 29 kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19 di sembilan daerah di Selangor telah disantuni dan menerima bantuan kebajikan.

Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan negeri melalui Belanjawan 2022 juga telah mengumumkan akan melaksanakan Bantuan Anak Yatim Covid-19 dengan peruntukan sebanyak RM1.25 juta.

“Bantuan kewangan ini akan memberi manfaat kepada 2,500 anak yatim di seluruh negeri Selangor yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dengan bantuan kewangan sejumlah
RM500 seorang.

“Kerajaan Negeri juga akan menyelaras dengan agensi seperti Jabatan Kebajikan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta unit-unit lain bagi tujuan seperti pengurusan harta pusaka, penjagaan anak-anak serta bantuan kesihatan dan juga sokongan emosi,” tambahnya lagi.