Malaysia Dateline

1,870 kes baru, Johor pula catat kes tertinggi

Buat julung kalinya, negeri Johor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 607 kes (32.5 peratus).

Daripada jumlah ini, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan sebanyak 578 kes (95.2 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Peningkatan kes di Johor dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Choh yang melaporkan sebanyak 374 kes (61.6 peratus).

Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 472 kes (25.2 peratus) dan Sabah sebanyak 280 kes (15.0 peratus).

Sebanyak 1,870 kes harian yang baru dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 110,485 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 22,562 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,868 kes.

Terdapat 131 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 62 kes
memerlukan bantuan pernafasan.

Terdapat pertambahan enam kes kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 463 kes (0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Bagaimanapun, bilangan kes sembuh pada hari ini sebanyak 745 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 87,460 kes (79.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).