Malaysia Dateline

19 ahli Parlimen Indonesia dijangkiti Covid-19

Seramai 19 ahli Parlimen Indonesia disahkan positif Covid-19, ketika republik itu hari ini mencatatkan 3,492 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam.

Menurut Sekretaris General Dewan Perwakilan Rakyat Indra Iskandar, seramai 42 lagi petugas di Parlimen atau Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) itu turut dijangkiti Covid-19.

Bercakap kepada media tempatan hari ini, Indra melahirkan kebimbangan akan bertambahnya lagi ahli Parlimen yang positif virus tersebut.

Kali terakhir DPR Indonesia yang dianggotai 575 ahli Parlimen itu bersidang ialah pada 5 Oktober lalu ketika meluluskan Undang-undang Cipta Kerja (Omnibus Law) yang menyebabkan tercetusnya demonstrasi bantahan kepada kelulusan undang-undang itu dan rusuhan di kota Jakarta dan beberapa kota lain pada 8 Oktober lalu.

Pada 9 Oktober lalu, seorang ahli Parlimen dari Parti Gerindra, Soepriyatno meninggal dunia akibat virus tersebut.

Mengikut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam laman Twitter rasminya @BNPB_Indonesia hari ini, kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 336,716 kes, manakala jumlah kematian mencecah 11,935 orang.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan jumlah kes positif keseluruhan tertinggi di republik berkenaan iaitu 88,174 iaitu tambahan 1,211 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam.

Namun, provinsi Jakarta dibenar kembali laksana fasa transisi (pemulihan) Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) selama dua minggu mulai hari ini, yang antaranya membenarkan kembali beberapa aktiviti sosioekonomi.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan dalam satu kenyataan menyatakan PSBB akan kembali dikuatkuasakan sekiranya kes positif harian kembali meningkat mendadak, terutamanya kebimbangan terhadap berlakunya kluster baharu berkaitan demonstrasi di ibu kota Jakarta baru-baru ini.