Malaysia Dateline

19 anak ahli peladang terima anugerah kecemerlangan akademik

Atas kecemerlangan yang dipamerkan dalam bidang akademik, seramai 19 anak ahli peladang dari seluruh negara telah dipilih untuk menerima Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang bagi tahun 2019.

Mereka yang terpilih untuk menerima anugerah berkenaan adalah, pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam pengajian Ijazah Pertama dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan berdasarkan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.50 ke atas.

Penerima tempat pertama, Muhammad Faez Mohd Kamaruzaman yang merupakan graduan dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Mara (UiTM) membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Muhammad Faez dari Selangor merupakan anak kepada ahli peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hulu Selangor yang mendapat keputusan cemerlang dengan CGPA 3.96.

Penerima kedua iaitu Wan Nuraini Wan Rosdi, graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa (Kepujian) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000.

Wan Nuraini dari Negeri Sembilan yang mendapat keputusan CGPA 3.89 merupakan anak kepada ahli peladang PPK Sri Kelana Lenggeng.

Manakala, penerima tempat ketiga, Nur Hidayah Yusoff, anak kepada ahli peladang PPK Kuala Kangsar dari Perak, pula membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000

Nur Hidayah merupakan graduan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan memperoleh CGPA 3.87 dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling).

Majlis anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Zainal Azman Abu Seman di dewan Ibu Pejabat Nafas, Kota Damansara, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha MOA, Datuk Haslina Abdul Hamid; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas merangkap Pengerusi Yayasan Pelajaran Peladang, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengurus Besar Nafas, Ahmad Shaari.

16 lagi penerima sumbangan saguhati, membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 setiap seorang.