Malaysia Dateline

Chong Siew Chiang

19 Jun keputusan lucut jawatan Adun Pujut

 

Keputusan berhubung saman difailkan Dr Ting Tiong Choon daripada DAP terhadap perlucutan kelayakannya sebagai Adun Pujut akan diketahui pada 19 Jun, sehari sebelum hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Pujut.

Peguam, Chong Siew Chiang yang mengetuai barisan peguam mewakili Dr Ting, memberitahu pemberita, Hakim Mahkamah Tinggi Douglas Cristo Primus Sikayun menetapkan tarikh itu di dalam kamar.

Beliau berkata, hakim menetapkan Selasa ini untuk semua pihak menyerahkan fakta kes dan Khamis dan Jumaat (15 dan 16 Jun) bagi hujahan oleh kedua-dua pihak.

“Masa amat penting, semuanya perlu diputuskan membabitkan kes ini sebelum hari penamaan calon (PRK Dun Pujut),” kata Siew Chiang.

Dr Ting memfailkan saman pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dua hari lepas bagi memohon pengisytiharan bahawa usul oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak pada 12 Mei untuk melucutkan kelayakannya sebagai Adun adalah tidak sah dan batal.

Beliau menamakan Speaker Dun Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar sebagai defendan pertama, Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Dr Wong Soon Koh sebagai defendan kedua, Dun Sarawak, kerajaan Sarawak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing sebagai defendan ketiga, keempat dan kelima.

Dr Ting memohon diisytiharkan bahawa pelucutan kelayakannya sebagai Adun kawasan Pujut oleh Speaker Dun, susulan usul dikemukakan defendan kedua pada 12 Mei dan diterima oleh sidang Dun dan speaker adalah tidak sah dan tidak memberi kesan kerana bersifat ultra vires.

Siew Chiang berkata, pihaknya akan berhujah bahawa Dun tidak mempunyaii bidang kuasa untuk melucutkan kelayakan Adun yang dipilih dan bahawa Dr Ting telah tidak diberikan masa yang cukup untuk mempertahankan dirinya.’

SPR menetapkan PRK Pujut diadakan pada 4 Julai dan penamaan calon pada 20 Jun.