Malaysia Dateline

19 Senator sokong kenyataan YDP Dewan Negara

19 Ahli Dewan Negara menyatakan sokongan penuh kepada Yang Dipertua (YDP) Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mempunyai kuasa autoriti memanggil sidang Parlimen sebagaimana diperuntukan oleh seksyen 14(1) (b), Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Dalam kenyataan bersama, Senator-senator berpendapat bahawa kuasa tersebut telah diturunkan terus kepada YDPA dan ia adalah penyerahan kuasa yang lengkap bersesuaian dengan tempoh Darurat yang masih berlangsung.

“Kami menjunjung kasih titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu atas kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan berhubung keperluan negara untuk segera keluar daripada kegagalan mengawal dan mengurus bukan sahaja masalah pandemik Covid-19, tetapi juga masalah ekonomi negara dan perpaduan sosial rakyat keseluruhan,” katanya.

Katanya yang juga menzahirkan kebersamaan dengan YDPA yang telah menekankan tentang betapa pentingnya kestabilan politik dan keperluan adanya sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat bagi memerangi wabak Covid-19 secara berkesan.

“Kami berpandangan adalah amat jelas akan Titah YDPA yang menggesa agar Parlimen segera bersidang. Malah kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu (MRRM) yang senada menyeru agar sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-Negeri dipanggil segera adalah isyarat jelas akan kepentingan negara ini untuk terus memelihara prinsip Demokrasi Berparlimen dan Keluhuran Perlembagaan,” katanya.

Justeru katanya, Parlimen perlu segera kembali berfungsi sebagai platform semak imbang tata kelola serta perjalanan pentadbiran kerajaan, membahas Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara, membincang lumat akan segala peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat secara adil dan menyeluruh.

“Kami konsisten menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan menangani krisis politik, kesihatan dan ekonomi negara sewajarnya dilakukan di Parlimen sebagai institusi tertinggi demokrasi yang mewakili suara semua rakyat. Parlimen dan DUN adalah hak rakyat dan tempat di mana hak dan suara mereka didengar
secara jelas, terarah dan konstruktif,” katanya.

19 Senator yang menyokong adalah;

Senator Hjh Raj Munni Sabu
(Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)

Senator Liew Chin Tong
(Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)

Senator Datuk Theodore Doughlas
(Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)

Senator Ismail Yusop
(Anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara)

Senator Dr Yaakob Sapari
Senator Dato Wira Marzuki Yahaya
Senator Dato Donald Peter Mojuntin
Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah
Senator Datuk Husam Musa
Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff
Senator Manolan Mohamad
Senator Laksamana (B) Mohd Imran Abdul Hamid
Senator Dr Ahmad Azam Hamzah
Senator Lim Hui Ying
Senator Nga Hock Cheh
Senator Alan Ling Sie Kiong
Senator Adrian Banie Lasimbang
Senator Kesavadas Achyuthan Nair
Senator Suresh Singh