Malaysia Dateline

19 tahun berumah tangga, Faizal Hussein tidak pernah terlibat dengan gosip orang ketiga

Kemelut rumah tangga antara pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof dan pelakon sohor tanah air, Putri Sarah dilihat seperti tiada penghujung.

Setiap hari pasti ada sahaja isu atau berita baharu tentang permasalahan perkahwinan mereka diterbitkan media Malaysia.

Namun lain pula halnya bagi pelakon veteran, Faizal Hussein yang berkongsi video pendek penuh romantis bersama isterinya.

“Teruntuk isteriku, terima kasih hadir dalam hidup ini. Terima kasih pernah memberi bahagia dan menjadi ibu yang terbaik buat anak-anak.

”Semoga kita adalah orang yang sama-sama takut akan kehilangan.” Tulis Faizal pada kapsyen yang terpampang dalam video kongsiannya.

Faizal atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Hussein mendirikan rumah tangga bersama Suhaila Sulaiman yang juga pernah bergiat dalam industri lakonan.

Pasangan yang pernah bergandingan di dalam drama Sayang Puteri ini telah berkongsi hidup selama hampir 19 tahun.

Dikurniakan sepasang cahaya mata, pasangan ini tidak pernah terpalit dalam sebarang kontroversi atau khabar angin.

Genap lebih 50 tahun berada di dalam industri lakonan, Faizal atau lebih dikenali sebagai Roy ini juga tidak pernah terlibat dalam sebarang gosip liar.