Malaysia Dateline

1,937 kes baharu, 9 kematian, 121 pesakit di ICU

Jumlah kes baharu hari iniĀ  sebanyak 1,937 kes menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 82,246 kes.

Manakala, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 13,751 kes

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, katanya terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 1,935 kes.

Tambahnya, terdapat 121 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 66 kes
memerlukan bantuan pernafasan.

Terdapat pertambahan sembilan kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 411 kes (0.50 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Namun katanya, Negeri Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 823 kes (42.5 peratus) di mana 714 kes (86.8 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan.

Ini diikuti oleh negeri Sabah sebanyak 429 kes (22.1 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 238 kes (12.3 peratus).

Bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 911 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 68,084 kes.