1MDB: 284 kotak, 72 bagasi barangan mewah dirampas

1MDB: 284 kotak, 72 bagasi barangan mewah dirampas

Sebanyak 284 kotak berisi beg tangan berjenama mewah dirampas dalam pemeriksaan polis di kondominium Pavillion Residences di Bukit Bintang, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Turut dibawa turun dari premis kediaman mewah itu adalah 72 bagasi mengandungi barangan kemas dan pelbagai jenis mata wang tunai asing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan jumlah rampasan barangan berkenaan pada sidang media tergempar di perkarangan kondominium itu jam 2 pagi tadi.

Menurutnya, pemeriksaan serentak juga dilakukan di lima lokasi lain termasuk Pejabat Perdana Menteri, kediaman rasmi bekas Perdana Menteri dan kediaman peribadi Datuk Seri Najib Razak.

“Ini salah satu tempat pemeriksaan. Di kediaman ini saja ada tiga unit,” ujarnya kepada pemberita yang membuat liputan siri serbuan polis itu sejak kelmarin.

Ditanya tentang pemilik premis itu, beliau hanya memberitahu dimiliki individu bergelar Tan Sri yang ada kaitan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Amar Singh berkata, pemeriksaan tersebut berkaitan dengan siasatan kes 1MDB sambil menegaskan nilai sebenar rampasan itu hanya akan dapat dimaklumkan kemudian.

Lima trak Polis diRaja Malaysia (PDRM) diguna untuk membawa barangan rampasan yang dibawa turun dari kondominium yang digeledah itu.

Bermula pukul 12.20 tengah malam tadi, satu demi satu troli yang lazim digunakan di pasaraya itu membawa timbunan bagasi menuju ke trak polis.

Terdapat bagasi yang dilihat terlalu berat sehingga memerlukan tenaga tiga anggota berkuasa untuk memindahkannya dari troli ke trak polis.

Sepanjang operasi itu, polis mengawal ketat kawasan sekitar termasuk beberapa anggota dilihat bersiap sedia dengan senjata api.

Rampasan di kondominium itu turut menarik perhatian pengguna jalan dan penghuni penempatan itu.

Amar Singh juga mengesahkan tiada tangkapan individu dilakukan buat masa ini.

Beliau juga mengisytiharkan pemeriksaan di kondominium itu sudah selesai manakala premis lain masih terus dijalankan.

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 9.3