Malaysia Dateline

1MDB: Empat lagi saksi akan dipanggil PAC

Sekurang-kurangnya empat lagi individu akan dipanggil Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) untuk siasatan berhubung dakwaan ‘mengubah’ laporan audit akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibentangkan di Parlimen pada 2016.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memaklumkan, senarai empat individu yang dinamakan antaranya, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Selain itu, PAC juga akan memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Arul Kanda Kandasamy.

Selain itu, Ronald turut tidak menolak kemungkinan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak juga akan turut dipanggil memberi keterangan.

“Ya ada beberapa nama lagi dikenal pasti, termasuk juga pasukan audit yang berkhidmat ketika bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bertugas sebelum ini, kira-kira lima hingga enam orang lagi.

“Selepas keterangan ini diambil, rumusan dan laporannya akan dibentang di Parlimen, katanya ketika ditemui media selepas mempengerusi mesyuarat PAC di Parlimen, hari ini lapor Sinaronline.

Sementara itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran memaklumkan perkembangan semasa berhubung siasatan hari ini, katanya Ambrin akan dipanggil semula untuk siasatan lanjut.

“Keterangan yang kita ambil daripada Ambrin hari ini berkisar sama ada laporan laporan 1MDB itu diubah atau tidak.

“Hari ini Ambrin banyak bagi maklumat bagaimanapun, PAC berpendapat beliau perlu dipanggil semula bersama pasukan audit yang membuat laporan audit pada 2014 lalu,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, PAC berharap keputusan berhubung siasatan tersebut dapat dilakukan sebelum sidang Parlimen akan datang iaitu Mac, 2019.

Siasatan hari ini bermula jam 11 pagi dan disambung semula jam 2 petang dan berakhir kira-kira jam 4 petang.

Dalam pada itu, Ronald memaklumkan Ambrin memberi kerjasama yang baik dan banyak membantu PAC.

“Lebih menarik ahli PAC ini ramai peguam, jadi sesi soal jawab menjadi menarik,” katanya.

Sementara itu, esok PAC akan memanggil Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan pegawai Pengauditan Kertas Kerja dan Bukti Jabatan Audit Negara, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad pada Khamis.