Malaysia Dateline

1MDB fokus utama sejurus PH tadbir kerajaan

Sejurus Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada 10 Mei 2018, perkara pertama yang dilakukan kerajaan untuk mengembalikan kembali wang negara adalah menjalankan penyiasatan terhadap skandal terbesar negara, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ini kerana antara lain rakyat Malaysia sudah tidak boleh menerima lagi kepimpinan yang digelar kleptokrat atau pencuri wang negara oleh dunia.

Malah, katanya, kerajaan turut menguatkuasakan undang-undang dengan mendakwa mereka yang menyalahgunakan kuasa, melesapkan duit kerajaan, dan menekan rakyat.

“Hari ini, bekas Perdana Menteri dan rakan-rakannya dituduh dalam mahkamah. Institusi-institusi yang telah dirosakkan oleh pentadbiran yang dahulu termasuklah Tabung Haji dan Felda dapat dipulih semula.

“Yang anehnya pada waktu siasatan terhadap skandal 1MDB sedang berterusan dan mereka yang terbabit telah mula dihadapkan di mahkamah berkenaan kes 1MDB, kes SRC (International Sdn. Bhd.), Datuk Seri Najib Razak berlagak seperti orang yang tidak bersalah. Demikian juga rakan-rakannya.

“Walaupun segala kesalahan Najib didedah, Najib dan rakan-rakannya masih mempertikaikan berlakunya salah guna kuasa, rasuah dan penipuan oleh mereka. Demikian juga dengan pengikut mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ucapan perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Tambahnya, pentadbiran dahulu yang tidak dapat membuktikan kebenaran, mereka beralih kepada memburukkan Kerajaan PH dengan menuduh PH tidak mendaulatkan Islam dan Perlembagaan.

Sementara itu, beberapa langkah lain yang dilaksanakan kerajaan adalah memperkenal satu badan pencegah rasuah, GIACC atau Pusat Governans, Integriti dan Pelan Anti-Rasuah Nasional yang ditubuh untuk meningkatkan integriti dan membasmi rasuah.