1MDB: Husam ajak seluruh negara solat hajat

1MDB: Husam ajak seluruh negara solat hajat

Adun Salor, Datuk Husam Musa menyeru semua rakyat beragama Islam di seluruh negara mengadakan solat hajat ketika berhadapan kehilangan berbillion wang negara akibat skandal 1MDB.

“Kalau kita di kampung hilang barang bernilai 700 ringgit kita solat hajat, minta orang alim berdoa dan ada sesetengah kita jumpa bomoh, takkan sekarang wang kita lesap berbillion semua diam dan tak buat apa-apa,” kata beliau ketika minum pagi bersama penduduk Kampung Laut di Tumpat semalam.

Kerajaan Singapura sahaja katanya teleh membekukan sejumlah 240 juta Dolar Singapura yang bersamaan 790 juta ringgit Malaysia.

“Di Amerika aset yang dikaitkan dengan 1MDB bernilai 1 billion telah disita oleh pihak kerajaan manakala berbillion lagi telah lesap kerana didapati telah digunakan untuk membayar kepada pusat perjudian bagi melangsaikan hutang,” katanya,

Semua wang itu katanya adalah wang rakyat yang terang-terang telah hilang dan tentu seperti mustahil untuk dapat dikembalikan semula.

Langkah paling realistik berhadapan situasi ini ialah seluruh rakyat bersolat hajat dan munajat memohon Allah menunjukkan jalan hingga mereka yang bertanggungjawab diadili dan harta yang hilang dikembalikan.

“Kepada yang buat sendiri, buat sendiri di rumah masing-masing, kepada yang ada kesempatan buat berjamaah buat sekadar yang sesuai,” ujar beliau.

Husam melawat Kampung Laut untuk mendengar sendiri rungutan penduduk yang penempatan mereka akan diambil untuk tapak kampung Warisan.

Mengulas perkembangan itu beliau melahirkan rasa terkejut kerana masih berlaku perlaksanaan projek yang tidak terlebih dahulu dirundingi dengan penduduk setempat.

“Ketika kita ambil alih Kelantan pada 1990, satu tragedi sedang berlaku di kampung Sabak di mana hakisan laut menyebabkan beberapa kampung di situ kini lenyap terus ditelan ombak,” katanya.

Beliau yang berkunjung ke situ dengan arwah Tok Guru Nik Aziz Nik Mat mendengar cerita orang kampung tentang projek penghadang ombak yang dibuat berhampiran kampung itu yang langsung tidak berunding dengan penduduk.

“Walaupun orang kampung bukan pakar dan ada pengetahuan teknikal tinggi, mereka memiliki pengetahuan berdasarkan pengalaman,” katanya.

Pengalaman tentang aliran air masa lalu dan hujan serta banjir membolehkan mereka boleh mengagak apa akan berlaku jika sesuatu projek baru dijalankan.

“Mereka beritahu arwah Tok Guru semua yang mereka beritahu akan berlaku kepada pengurus dan jurutera projek telah menjadi kenyataan dan akhir kampung warisan mereka kini hilang dari peta dan sejarah,” katanya.

Seperti juga di Kampung Laut kata beliau amat pelik jika penduduk asal yang mewarisi tempat berkenaan tidak dibawa berbincang dengan teliti.

“Ini projek kampung warisan, yang bermaksud semua yang ditinggal orang dulu di sini dapat kepada kita sekarang dan akan datang.

“Apa makna warisan kalau kita kena lari dan orang lain datang ambil?,” soal beliau.

TAGS