1MDB-IPIC: Pengerusi PAC patut letak jawatan, kata Tony Pua

Pengerusi Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin harus meletak jawatan ekoran sikap berdiam diri berhubung keputusan kes timbang tara antara 1MDB dan International Petroleum Investment Corporation (IPIC).

1MDB-IPIC: Pengerusi PAC patut letak jawatan, kata Tony Pua

Pengerusi Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin harus meletak jawatan ekoran sikap berdiam diri berhubung keputusan kes timbang tara antara 1MDB dan International Petroleum Investment Corporation (IPIC)

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, Hasan patut memberi laluan kepada individu yang serius tentang integriti, kebertanggungjawaban dan bersedia untuk menjawab kepada rakyat Malaysia.

“Di sebalik menjawab permintaan agar siasatan dibuka semula, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam, Datuk Hasan Arifin kekal berdiam diri.

“Malah, bukan sahaja beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu penting itu yang melibatkan lebih RM15 bilion wang pembayar cukai, beliau juga telah mengelakkan pertanyaan media,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tony berkata demikian mengulas keengganan Hasan membuka semula siasatan PAC terhadap syarikat bermasalah milik negara itu ekoran perkembangan terbaru melibatkan keputusan kes timbangtara di London.

Hasil keputusan itu, IPIC akan menerima bayaran berjumlah US$1.205 bilion, manakala 1MDB dan Kementerian Kewangan akan bertanggungjawab ke atas faedah masa depan dan bayaran pokok bagi bon bernilai US$3.5 bilion yang sebelum ini dijamin IPIC.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP, dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa rakyat Malaysia terpaksa membayar dua kali ganda hutang yang ditanggung 1MDB kepada IPIC.

1MDB sebelum ini kerugian AS$3.51 bilion melalui pembayaran kepada Aabar Investments PJS Limited (BVI) – sebuah syarikat yang didakwa sebagai anak syarikat IPIC.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ), BVI sebenarnya adalah syarikat palsu yang mempunyai nama hampir sama dengan anak syarikat IPIC, Aabar Investment PJS (Aabar).

IPIC menafikan BVI sebagai anak syarikatnya sehingga menimbulkan pertikaian antara 1MDB dan syarikat Abu Dhabi itu dan seterusnya membawa kepada kes timbang tara.