Malaysia Dateline

1MDB jejaskan semua rakyat Malaysia

Kesedaran tentang skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah penting kerana skandal itu menjejaskan rakyat di negara ini termasuk rakyat di Sandakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata skandal itu telah menjejaskan peruntukan dalam belanjawan negara, yang sepatutnya boleh digunakan untuk membangunkan lagi Sabah.

“Ada kaitannya (kesedaran tentang skandal 1MDB kepada penduduk di Sabah).

“Orang mungkin tidak tahu … tetapi disebabkan skandal itu, kita kehilangan banyak wang,” kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita ketika berkempen untuk calon DAP pada Pilihan Raya Kecil Sandakan pada Ahad.

Wan Azizah diminta mengulas mengenai ceramah oleh bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Pulau Berhala di sini semalam.

Pandikar, yang berada di sini untuk berkempen bagi calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin, memberitahu penduduk di pulau itu bahawa skandal 1MDB tidak relevan kepada rakyat di Sandakan.

Wan Azizah berkata tindakan Pandikar adalah tidak bertanggungjawab dan bahawa rakyat di seluruh negara perlu tahu skandal itu yang mendapat perhatian seluruh dunia.

Mengenai Wong, Timbalan Perdana Menteri mahu penduduk Sandakan memastikan Wong memenangi pilihan raya kecil itu kerana negara memerlukan lebih ramai pemimpin muda untuk menyuarakan masalah mereka di Parlimen.
– BERNAMA