Ketika desakan kepada kerajaan dan Perdana Menteri memuncak ekoran siasatan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat terhadap 1MDB membabitkan aset RM4 bilion (USD1 bilion) yang didakwa diperolehi secara haram, Pakatan Harapan memberikan kata dua kepada Datuk Seri Najib Razak bagi melaksanakan tiga perkara.
Tiga perkara tersebut adalah:
1. Najib perlu mengambil cuti dari jawatan Perdana Menteri pada kadar segera oleh sebab wujudnya persepsi beliau mempunyai kuasa dan pengaruh ke atas agensi utama kerajaan termasuk pejabat Peguam Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM);
2. Kabinet perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menitahkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja – yang terdiri daripada individu-individu yang tiada kaitan dengan mereka yang didakwa terlibat di dalam isu ini – untuk menyiasat dakwaan-dakwaan berat ini; dan
3. Satu sidang Parlimen tergempar perlu dipanggil segera, supaya Najib boleh memberikan penjelasan sepenuhnya mengenai isu ini kepada Ahli-Ahli Parlimen.
Dalam satu kenyataan media yang ditandatangani Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, Pakatan Harapan memandang berat siasatan Jabatan Kehakiman Amerika terhadap aset milik individu yang disyakki telah diselewengkan daripada dana 1MDB.
“Ini merupakan rampasan aset haram terbesar dalam sejarah di Amerika Syarikat.
“Sidang media tersebut secara jelas menyatakan bahawa antara 2009 dan 2015, hampir RM14 bilion (USD3.5 bilion) telah dikeluarkan secara haram dari 1MDB oleh beberapa individu termasuk Riza Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Razak dan Jho Low, dengan pengetahuan dan kelulusan seorang individu yang diberi nama ‘Malaysian Official 1’,” kenyataan bersama itu dipetik.
Memandangkan dakwaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat itu amat berat dan implikasinya kepada nama dan imej negara, Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa tiga perkara itu dilaksanakan Najib.
Majlis Presiden Pakatan Harapan turut memberikan kata dua (ultimatum) kepada Najib untuk melaksanakan tiga tuntutan itu sehingga 29 Julai ini.
Jika Najib dan kabinet gagal melaksanakan tiga perkara tersebut, Pakatan Harapan akan bersama menggerakkan rakyat dalam satu tindakan politik pada Sabtu, 30 Julai sebagai tanda protes terhadap pentadbiran Najib.