Malaysia Dateline

1MDB: Kerajaan mohon lucut wang tunai, banglo dan kereta rakan sekutu Jho Low

Kerajaan Malaysia memfailkan notis usul untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM156,500, kereta dan beberapa hartanah milik seorang lelaki yang didakwa sebagai rakan sekutu ahli perniagaan buruan, Low Jho Low iaitu Casey Tang Keng Chee.

Hartanah yang terlibat adalah sebuah banglo dan kedai pejabat milik Keng Chee yang merupakan bekas Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kereta yang mahu dilucut hak ialah jenis Subaru XV, manakala banglo dan kedai pejabat terletak di Puchong.

Keng Chee dilaporkan melarikan diri ke luar negara dan masih belum dikesan oleh pihak berkuasa.

Notis usul itu difailkan melalui Pendakwa Raya tahun lalu bagi menuntut harta berkenaan mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan serahan dokumen kepada pihak ketiga dijalankan pada 12 Oktober depan.

Kerajaan selaku plaintif diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous.

Pada Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Casey Tang membayar cukai pendapatan RM6,779,852.36 atau hampir RM6.8 juta kepada kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Baca juga: Pemandu lori selamba buang sampah di sungai sudah ditahan

Baca juga: Tidak tahu apa motif, lelaki melintas jalan dan pura-pura dilanggar