1MDB laksana pembayaran kupon berjadual nota jangka sederhana Islam

1MDB laksana pembayaran kupon berjadual nota jangka sederhana Islam

1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini melaksanakan pembayaran kupon berjadual berjumlah RM143.75 juta bagi Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) RM5 bilion berkadar 5.75 peratus, yang matang pada 2039.

Pembayaran tersebut dibuat mengikut jadual pembayaran kupon IMTN itu.

“1MDB mempunyai mudah tunai yang lebih daripada mencukupi untuk membayar faedah dan memenuhi tanggungjawab hutang semasanya. Kemajuan kukuh yang dicapai daripada pelan rasionalisasi telah menambah sokongan kedudukan kewangan stabil 1MDB,” kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Arul Kanda dalam satu kenyataan hari Isnin.

Beliau berkata bayaran itu dibuat selepas 1MDB mengatakan bahawa ia mengalami pertikaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) bagi bayaran faedah untuk US$1.75 bilion berkadar tetap 5.75 peratus, yang matang pada 2022, diterbitkan oleh 1MDB (Langat) Ltd (Nota Langat), serta US$1.75 bilion dengan kadar tetap 5.99 peratus dengan tempoh matang pada 2022 yang diterbitkan 1MDB Energy Ltd (Nota Tenaga).

Beliau mengulangi, walau apa pun pertikaian dengan IPIC, ia akan terus melunaskan tanggungjawab hutang semasa.

“1MDB kekal menumpukan kepada penyelesaian pertikaian dengan IPIC, dan komited meneruskan proses rundingan dan berusaha untuk mencapai penyelesaian untuk kepentingan terbaik semua pemegang berkepentingan,” katanya.

TAGS