Malaysia Dateline

1MDB: Menteri Kewangan didesak dedah syarat penyelesaian dengan Goldman Sachs

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mendesak agar Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan syarat penuh perjanjian penyelesaian dengan bank pelaburan Global, Goldman Sachs berhubung skandal 1MDB.

Beliau dalam sidang medianya tengah hari tadi berkata, penyelesaian dengan Goldman Sachs sebanyak AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bukanlah penyelesaian terakhir dan terbaik.

Ini kerana katanya, kerugian bersih akibat skandal 1MDB dianggarkan sekitar RM40 billion hingga RM50 bilion, bergantung pada apa yang dapat terima balik.

“Lebih membimbangkan, syarat-syarat jaminan sebanyak AS$1.4 billion juga adalah tidak jelas.

“Justeru katanya, Menteri Kewangan harus menjawab apa sebenarnya terma jaminan itu dan upaya apa yang dilakukan Goldman untuk mendapatkan kembali jumlah sebanyak AS$ 1.4 bilion,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Minggu lalu, kerajaan dan Goldman mencapai satu penyelesaian yang bakal menyaksikan sejumlah AS$3.9 bilion dikembalikan kepada Malaysia.

Tengku Zafrul kelmarin berkata, Goldman akan membayar AS$2.5 bilion secara tunai dan jaminan untuk pengembalian penuh sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang diseleweng.

Sementara itu, Wong mempersoalkan sama ada jumlah AS$ 1.4 bilion itu merupakan sebahagian daripada apa yang telah dipulihkan oleh kerajaan Amerika Syarikat atau sedang dalam proses pemulihan.

“Berapakah jangka masa yang akan diberikan kepada Goldman Sachs untuk pulihkan semula, sebelum mereka kena membayar Malaysia AS $ 1.4 bilion?” soalnya lagi.

Dalam masa sama, Wong juga berkata, Menteri kewangan harus mendedahkan sepenuhnya implikasi undang-undang kepada Goldman dari segi kes jenayah.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak boleh membiarkan orang yang terlibat secara langsung dalam kegiatan jenayah 1MDB, terlepas sahaja dengan satu denda kewangan.

“Terakhirnya, saya mendesak kerajaan untuk mengungkapkan usaha mereka dalam mendapatkan wang dari Jho Low dan rakan-rakannya, yang terlibat dalam skandal 1MDB.

“Apakah kemajuan yang telah dicapai dalam perkara ini?” soal Wong lagi.