1MDB: Muhyiddin patut cabar Zeti, kata Mohd Puad

1MDB: Muhyiddin patut cabar Zeti, kata Mohd Puad

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Majlis Tertinggi Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyelar tindakan provokasi Tan Sri Muhyidin Yassin mengenai maklumat 1MDB yang diperoleh daripada Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau berkata, Muhyiddin menggunakan akaun facebook peribadinya pada 29 Mac untuk menjawab kenyataan yang pernah dibuat olehnya yang disiarkan di Berita Harian pada 26 Mac lalu.

“Sepatutnya dia mencabar Zeti kerana kenyataan saya berdasarkan penafian Zeti. Dalam posting terbaru itu TSMY mendakwa pula kononnya Zeti mendedahkan Perdana Menteri cuba menghalang penyiasatan.

“Sedangkan PM sendiri yang meminta PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) dan Audit Negara membuat siasatan manakala Peguam Negara memutuskan tiada kes untuk pendakwaan. Pada saya Muhyiddin sekali lagi cuba melakukan provokasi dan menipu demi kepentingan peribadi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mohd Puad ZakarshiMohd Puad menjelaskan dalam ucapan Muhyiddin di Teluk Kemang dan dalam sidang akhbarnya pada 22 Mac, Muhyiddin menyebut menerima maklumat daripada Zeti dan Bank Negara.

Sedangkan Zeti ujarnya lagi, dalam kenyataan pada 23 Mac seperti yang dilaporkan oleh media, menafikan pernah bertemu dan membincangkan mengenai aset 1MDB seperti yang didakwa Muhyiddin.

“Jadi dalam soal ini elok Muhyiddin buktikan bahawa Zeti ada menemuinya dan memberi maklumat tentang perkara ini kerana Zeti telah menafikannya.

“Jangan lupa dia dalam ucapannya di Umno Bahagian Cheras pada Julai 2015, pernah menyebut dan mengakui bahawa dia sampai terpaksa membaca akhbar The Edge untuk memahami dan mendapatkan maklumat mengenai 1MDB. Sekarang Muhyiddin kata dia mendapat maklumat daripada Zeti. Mana satu yang betul?” soalnya.

Mohd Puad turut menjelaskan beliau dimaklumkan juga Menteri Kewangan II, pernah mengambil masa selama 40 minit untuk menjelaskan kepada Muhyiddin secara peribadi mengenai 1MDB, tetapi Muhyiddin tidak berminat untuk mendengarnya dan langsung tidak membuka fail berkaitan hal tersebut.

“Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi juga saya tidak pernah mendengar Muhyiddin membangkitkan tentang maklumat-maklumat yang dikatakan dimaklumkan oleh Zeti dan Bank Negara. Bahkan dalam kenyataan media di Milan Italy 2015, Muhyiddin mendakwa dia tiada maklumat mengenai 1MDB sebab itu tidak dapat menjawab isu berkenaan yg menjadi punca BN kalah PRK Permatang Pauh.

“Justeru saya mendesak Muhyiddin agar mencabar penafian Zeti sama ada dia berbohong atau Zeti yang berbohong.” ujarnya.

Kenyataan Zeti yang menafikan beliau tidak bertemu Muhyiddin yang dilapor media.

TAGS