1MDB: Nafi terima cek, akan berbincang dengan peguam, kata Ahmad Maslan

1MDB: Nafi terima cek, akan berbincang dengan peguam, kata Ahmad Maslan

Datuk Ahmad Maslan mengesahkan beliau telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis berhubung dakwaan menerima wang yang dikatakan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun kata bekas Timbalan Menteri Kewangan itu, beliau tidak menerima cek yang dimaksudkan kedua-dua pihak.

“Saya telah memberitahu mereka bahawa saya tidak pernah menerima cek dengan jumlah yang ditunjukkan salinan cek kepada saya oleh pihak PDRM dan pihak SPRM.

“Saya juga telah menandatangani dokumen PDRM dan SPRM bahawa saya tidak pernah menerima wang seperti yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Justeru Ahli Parlimen Pontian itu dalam kenyataan berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya untuk tindakan selanjutnya.

Dalam satu sidang media hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dipetik berkata, Ahmad Maslan antara 80 individu dan entiti akan menerima notis kompaun daripada SPRM bagi mendapatkan semula wang-wang yang mengalir keluar dari salah guna akaun kes 1MDB.

Latheefa berkata jumlah notis kompaun itu bernilai RM420 juta yang perlu dijelaskan oleh penerima kompaun dalam tempoh dua minggu dari notis dikeluarkan.

Notis kompaun segera itu disiasat mengikut Seksyen 92 (1) di mana sekiranya gagal membayar kompaun itu, pihak terbabit akan dihadap ke mahkamah.

Mengikut senarai, antara yang menerima notis kompaun adalah adik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas menteri Kabinet, Tan Sri Shahrir Samad.