1MDB : Najib, Irwan Siregar di SPRM serentak hari ini

1MDB : Najib, Irwan Siregar di SPRM serentak hari ini

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  hari ini bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes pembayaran hutang dana pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MBD) kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).

Najib yang menaiki kenderaan Audi Q7 tiba pukul 1.53 tengah hari di perkarangan SPRM.

Seawal pukul 12 tengah hari, puluhan media tempatan dan antarabangsa berkampung di perkarangan ibu pejabat SPRM bagi membuat liputan.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Siregar Abdullah pula tiba di SPRM dipercayai berkaitan kes yang sama kira-kira 3.25 petang dengan menaiki kereta Perodua Myvi.

Najib telah didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan sebelum ini.

Pada 4 Julai lepas, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Ogos lepas, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.

Pada 20 Sept pula, Najib didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfa) dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.