1MDB: Najib tetap bertanggungjawab walaupun lembaga pengarah letak jawatan

1MDB: Najib tetap bertanggungjawab walaupun lembaga pengarah letak jawatan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh lari daripada mengambil tanggungjawab terhadap kelemahan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) seperti dibentangkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Khamis lalu.

Timbalan presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Salahuddin Ayub berkata, cadangan PAC agar lembaga penasihat 1MDB dimansuhkan dialu-alukan namun tidak boleh mengalih isu undang-undang dan moral Najib.

Beliau berkata, peletakan jawatan ahli lembaga 1MDB adalah perlu namun ia tidak harus dijadikan langkah untuk menghentikan siasatan terhadap Najib sebagai menteri kewangan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan 1MDB.

“Bagi memenuhi tanggungjawab sebagai perdana menteri dan juga pengerusi 1MDB, Najib mesti terus bertanggungjawab terhadap isu 1MDB sehingga penjelasan telus dapat diberikan kepada rakyat.

”Peletakan jawatan lembaga pengarah satu tindakan yang perlu tapi jangan isu ini dialih. Isu ini tidak dapat dialihkan dengan hanya menggesa peletakan ahli lembaga pengarah tanpa Najib bertanggungjawab.

“Kita tidak mahu desakan peletakan ahli jawatankuasa pengarah itu untuk menutup mulut dan juga siasatan terhadap Najib,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Lembaga pengarah 1MDB secara kolektif menawarkan untuk meletakkan jawatan berikutan pengumuman PAC yang menonjolkan salah urus dalam dana syarikat milik negara itu.

“Ahli lembaga telah berjaya membawa 1MDB melalui tempoh unik yang mencabar dan percaya bahawa, dengan pengumuman laporan PAC, garis telah disediakan.

“Bagaimanapun, memandangkan penemuan laporan PAC, lembaga pengarah secara kolektif pagi ini membuat keputusan menawarkan peletakan jawatannya kepada MoF (Kementerian Kewangan) Diperbadankan, pemegang 100 peratus saham 1MDB.

“Ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk diambil tetapi kami percaya ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan, memandangkan keadaan ini bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti yang dicadangkan oleh PAC,” kata 1MDB dalam kenyataan Khamis lalu.

Salahuddin yang juga bekas ahli parlimen Kubang Kerian juga berkata, laporan PAC berkaitan 1MDB seolah-olah cuba menjaga imej Najib semata-mata.

“Laporan semalam secara tersirat cuba untuk menyelamatkan imej dan tanggungjawab perdana menteri.

“Cadangan PAC terhadap pengurusan 1MDB untuk membuat rombakan dan penambahbaikan setelah isu ini menjadi suatu isu yang melibatkan maruah negara sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya lagi.

Semalam, pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata, Najib tidak disebut dalam laporan jawatankuasa itu kerana tidak menemui sebarang bukti untuk menunjukkan salah laku atau salah guna kuasa.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua bagaimanapun berkata, Najib tetap bertanggungjawab terhadap kelemahan 1MDB kerana beliau merupakan menteri kewangan.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu berkata, ada banyak sebab untuk mengaitkan Najib dengan kegagalan 1MDB.

Mengikut memorandum dan tata urusan syarikat (M&A) 1MDB, beliau yang juga Ahli PAC berkata, setiap aktiviti pindahan wang syarikat terbabit perlu disertakan bersama surat sokongan bertulis yang jelas daripada perdana menteri.

“Oleh itu, perdana menteri secara peribadinya telah menandatangani semua resolusi bertulis berkaitan pelaburan syarikat berkenaan yang telah gagal, seperti US$1.83 bilion usaha sama Petrosaudi, pinjaman bon bernilai US$6.5 bilion, pengambilalihan berbilion ringgit aset tenaga dan hartanah serta pemecatan dua juruaudit luar, Ernst & Young dan KPMG,” katanya dalam sidang media semalam.

TAGS