Malaysia Dateline

1MDB: Nasrudin cadang tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, parti itu mengambil penyelesaian yang bersifat fundamental dengan usaha membetulkan urustadbir negara, mengembalikan sistem pemisahan kuasa dan membenteras politik wang.

“Pas konsisten atas apa jua dakwaan penyelewengan dana 1MDB dan salah laku, justeru ia mestilah disiasat oleh satu badan siasatan yang profesional dan telus.

“Suruhanjaya Diraja mesti ditubuhkan segera untuk merealisasikan sebuah siasatan yang tidak berpihak,” ujarnya.

Semalam Pakatan Harapan telah mengumumkan akan mengadakan perhimpunan “sayangkan Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ pada September ini sebagai reaksi gabungan itu terhaadap saman sivil ketiga DoJ berkaitan 1MDB.

Bagaimanapun Pas yang tidak lagi bersama Pakatan Harapan menjelaskan. parti itu mempunyai polisi dan pendekatan tersendiri melaui strategi dan roadmap perjuangan mereka.

” Tidak terikat dengan mana – mana pihak, demikian juga tidak terkesima dengan gerak tari pihak yang mempunyai agenda mereka sendiri.

“Pas kini dalam fasa menumpukan perhatian serius terhadap isu-isu yang secara langsung menyentuh kehidupan rakyat terbanyak seperti isu kenaikan harga barang, pengangguran, kos sara hidup, GST dan sebagainya.

“Kerajaan perlu menunjukkan ketelusan sekaligus membina keyakinan rakyat terhadap kemampuan Agensi negara seperti SPRM, PDRM, BANK NEGARA dan Peguam Negara dalam menyiasat serta mengambil tindakan kepada pihak terlibat.

“PAS melahirkan kebimbangan dengan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut,” ujarnya.