1MDB: Rafizi dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun

Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli terlepas daripada hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan  di Putrajaya,  hari ini memutuskan beliau dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bagi kesalahan mendedahkan satu muka surat laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, membenarkan rayuan Mohd Rafizi bagi dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Rafizi, 41, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen pada 2016 bagi kesalahan itu dan Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu pada tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud tidak membantah permohonan bagi dikenakan bon berkelakuan dikemukakan peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili naib presiden PKR itu.

Pihak pendakwaan juga menarik balik rayuan balas terhadap pembebasan Mohd Rafizi daripada pertuduhan pertama iaitu memiliki laporan audit tanpa kebenaran.

Berikutan penarikan balik itu, Hakim Ahmadi yang mempengerusikan panel itu, membatalkan rayuan itu.

Ahmad Nizam memaklumkan mahkamah anak guamnya menarik balik rayuan terhadap sabitan dan hanya meneruskan rayuannya terhadap hukuman.

Mohd Rafizi didapati bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu mendedahkan isu kandungan laporan itu pada sidang media di lobi bangunan Parlimen di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur pada 28 Mac 2016.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa memiliki muka surat 98 laporan audit itu yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) oleh kerajaan, pada 3 petang pada 24 Mac 2016.

Mohd Rafizi, yang berkemeja putih, seluar panjang hitam dan jaket hitam, berkata beliau datang ke mahkamah hari ini dengan bersedia bagi sebarang kemungkinan termasuk dihantar ke penjara.

Beliau  bersyukur kerana dikenakan bon berkelakuan baik dan berterima kasih kepada mahkamah, timbalan pendakwa raya dan peguam belanya.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote