1MDB: RM2.973bilion dimasukkan dalam akaun Najib

1MDB: RM2.973bilion dimasukkan dalam akaun Najib

Siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapati sebanyak RM2.973 bilion (US$972 juta) telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata jumlah tersebut dimasukkan ke dalam akaun AmIslamic Bank menerusi tiga fasa yang melibatkan tiga syarikat iaitu Good Star, Aabar dan Tanore.

Noor Rashid berkata sehingga kini, polis juga telah mengenal pasti sebanyak 132 transaksi penggunaan wang haram yang dikenalpasti ada kaitan dengan 1MDB dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Selain itu, seramai 64 saksi telah dirakam percakapan termasuk Najib, anaknya Nooryana Najwa dan ada beberapa lagi individu lain juga akan diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ini.

“Siasatan ini melibatkan saksi dalam dan luar negara serta ia sangat sukar kerana ia perlu mendapat kerjasama daripada negara-negara yang terlibat bagi melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media perkembangan siasatan 1MDB di Bukit Aman, semalam, lapor Bernama.

“Selain Najib dan anaknya yang telah dirakam percakapan, polis juga telah memanggil beberapa ahli politik untuk dirakam percakapan bagi kes yang sama, tetapi saya tidak akan dedahkan nama mereka,” katanya.

Sementara itu, Noor Rashid berkata sehingga kini, pasukan siasatan jenayah penggubahan wang haram (AMLA) Bukit Aman tidak menerima sebarang tuntutan rasmi daripada mana-mana pihak ke atas sitaan wang tunai dan barangan berharga dalam siasatan tersebut.

“Namun, Najib telah membuat kenyataan akhbar berhubung isu wang tunai yang disita, ekoran itu, pihak AMLA telah menyerahkan perintah di bawah Seksyen 32 AMLATFPUAA (Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram) 2001 untuk hadir memberi keterangan kepada pegawai penyiasat berkaitan pemilikan wang itu,” katanya.

Beliau berkata pihak AMLA juga telah mengenal pasti beberapa beg dan jam tangan yang disyaki diperolehi dengan menggunakan hasil daripada wang haram.

“Pihak AMLA juga masih bekerjasama dengan beberapa buah negara luar yang boleh membantu siasatan kes 1MDB,” katanya.

Noor Rashid berkata pihaknya kini dalam proses mengumpul bukti yang cukup supaya tindakan pendakwaan dan pelucuthakan harta yang terlibat dapat diambil.

“Bagi tujuan ini polis mempunyai masa selama setahun (sehingga Mei 2019) untuk melengkapkan siasatan kes 1MDB bagi melengkapkan siasatan.

“Pihak AMLA telah memohon dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa luar negara untuk mendapatkan keterangan serta dokumen yang diperlukan untuk kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata polis juga sedang memohon Mutual Legal Assistance (MLA) daripada Jabatan Peguam Negara untuk memanggil saksi dari luar negara bagi membantu kes ini.

“Berikutan itu, pihak Peguam Negara telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa luar negara dan sedang mengambil tindakan susulan. Kebanyakannya transaksi 1MDB banyak berlaku di luar negara kerana itulah kita memerlukan MLA untuk mendapatkan persetujuan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga memohon proses MLA melalui Jabatan Peguam Negara dengan negara terlibat seperti Singapura, Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Switzerland.

“Siasatan ini mengambil masa berikutan kesukaran dalam mendapatkan keterangan saksi di luar negara terbabit, namun kita yakin ia dapat diselesaikan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai RM2.973 bilion (US$972 juta) yang telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, Noor Rashid berkata polis telah mengenal pasti lebih 50 individu dalam dan luar negara termasuk beberapa ahli politik yang terlibat dalam menerima wang daripada transaksi itu.

Pada 17 Mei lepas, pihak AMLA telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.

Ekoran itu, serbuan telah dibuat di lima buah premis dan pelbagai barangan seperti wang tunai berjumlah RM114 juta, 12,080 unit barang kemas, 566 unit beg tangan, 437 utas jam tangan dan 234 cermin mata pelbagai jenama telah disita.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote