1MDB: Shahrir hairan nama Mas Ermieyati tiada dalam senarai SPRM

1MDB: Shahrir hairan nama Mas Ermieyati tiada dalam senarai SPRM
(kiri) Datuk Mas Ermiyati Shamsuddin dan (kanan) Tan Sri Shahrir Samad.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad mempersoalkan bagaimana Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak ada dalam 81 entiti dan individu yang akan didakwa di bawah AMLA oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikatakan menerima duit 1MDB.

Sedangkan sebelum Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namanya bersama tiga pemimpin UMNO tersenarai sebagai individu yang telah ditawarkan untuk mengkompaun kes di bawah akta berkenaan.

Memetik laporan MG,  kata Shahril apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Lateefah Koya mengumumkan Isnin lalu hanya beliau dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan masih ada dalam senarai itu.

“Secara ajaib, Mas Ermieyati telah tidak lagi disebut namanya. Pada Ogos 2015, nama kita bertiga disebut oleh Sarawak Report. Pada 6 Oktober, Lateefah Koya gugurkan nama Mas Ermieyati. Tinggal sahajalah saya dan Ahmad Maslan.

“Umum tahu Mas Ermieyati yang pertama lompat keluar dari Umno masuk PPBM tapi mengapa pula Lateefah Koya gadaikan integritinya untuk kecualikan seorang yang juga dilaporkan oleh Sarawak Report telah menerima sumbangan politik dari bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Mas Ermieyati tidak ada integriti politik kerana menjadi ‘katak politik’ kini Ketua Pesuruhjaya SPRM juga turut sama menggadaikan integritinya dengan bertindak secara selektif terhadap beliau yang tetap berpendirian politik bersama Umno

Kata Shahrir, inilah harga maruah tetapi terdedah kepada pendakwaan yang selektif oleh mereka yang tidak ada integriti.

Mengulas lanjut, katanya, beliau tidak mempunyai sumber kewangan lain untuk membiayai partinya peringkat negeri dan bahagian kerana tidak terlibat dalam sebarang perniagaan.

“Oleh itu, kepada siapa lagi yang saya boleh minta bantuan kewangan selain dari presiden parti saya (Najib) dan inilah penjelasan saya secara konsisten.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak Ahmad Maslan atau Mas Ermieyati kerana mereka tentunya ada penjelasan tersendiri,” katanya.