Siapakah ‘Malaysian Official 1’ dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika?

Siapakah ‘Malaysian Official 1’ dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika?

Firma pelaburan negara 1MDB, berkata ia tidak mendapat sebarang manfaat dari mana-mana transaksi yang disenaraikan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk merampas aset yang dibeli menggunakan dana yang didakwa disalurkan dari 1MDB.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan tindakan undang-undang itu di Los Angeles semalam untuk merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion daripada AS$3 bilion yang mana penyiasat AS percaya telah “ditipu” daripada rakyat Malaysia.

“1MDB menekankan bahawa ia bukan satu pihak dalam saman sivil itu, tidak mempunyai sebarang aset di Amerika Syarikat, atau ia mendapat manfaat dari pelbagai transaksi yang dinyatakan dalam saman sivil itu.

“Tambahan pula, 1MDB tidak dihubungi oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat atau mana-mana agensi asing lain yang berkaitan dengan siasatan mereka.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, 1MDB akan bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak kuasa asing yang sah, tertakluk kepada protokol antarabangsa yang mengawal perkara-perkara tersebut dan nasihat dari pihak berkuasa tempatan berkaitan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Semalam Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) tidak menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, secara lansung dalam saman mereka memohon untuk merampas harta yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, jabatan itu hanya merujuk ‘pegawai atasan Malaysia’ sebagai ‘individu berkaitan’.

Saman yang difailkan di Los Angeles menyebut ‘Malaysian Official 1’ yang juga memegang satu jawatan yang berkuasa di dalam 1MDB seperti dilapor The Wall Street Journal.

Najib yang juga Menteri Kewangan adalah Penasihat Eksekutif 1MDB yang berkuasa membuat keputusan berkaitan komitmen kewangan syarikat itu.

1MDB kini menanggung beban hutang sehingga RM50 bilion, tetapi kerajaan telah membuat keputusan untuk mengambil alih syarikat itu dan tanggungjawabnya.

Isu itu menjadi panas apabila RM2.6 bilion dikesan masuk ke akaun peribadi Najib yang didakwa sebagai ‘derma’ dari keluarga diraja Arab Saudi.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Najib ialah orang yang terbabit secara langsung dalam penyelewengan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat ini menanggung beban hutang yang besar dan kerajaan terdedah kepada risiko hutang.

Loretta Elizabeth LynchSementara itu, Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta E Lynch pada sidang medianya semalam ditanya sama ada wujud pengaturan untuk tidak menamakan Najib di dalam saman itu.

“Perjanjian kami hanya ke atas draf aduan sebagaimana kami lakukan dalam urusan berkaitan pelucutan hak.

“Saya tidak mempunyai komen terhadap mana-mana individu yang tidak dinamakan setakat ini,” katanya pada sidang media Jabatan Kehakiman di Washington DC seperti dipetik dari portal berita tempatan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, Najib yang terbabit secara langsung dengan 1MDB, perlu dikenakan tindakan kerana beliau juga adalah penasihat agensi itu.

Katanya, Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan menjadi penasihat kepada 1MDB telah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap berbilion-bilion ringgit wang kerajaan.

“Najib tidak menjalankan tanggungan fiduciary dengan bertanggungjawab. Ini adalah satu kesalahan besar walaupun laporan PAC menuding jari ke arah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Hilmi sepenuhnya.

“Sementara tindakan terhadap Shahrol perlu diambil, tindakan terhadap penasihat 1MDB yang mewakili kerajaan tidak boleh diketepikan,” katanya.

TAGS