Malaysia Dateline

1MDB: Zeti, BNM, dan SPRM bertanggungjawab jelaskan kedudukan mereka

Sekurang-kurangnya tiga pihak bertanggungjawab untuk menjelaskan kedudukannya selepas lebih 48 jam pendedahan Polis Singapura bahawa bekas Gabenor Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mungkin tahu mengenai transaksi 1MDB yang dilakukan ke akaun milik suaminya di Singapura.

Polis Singapura berkata, suami dan anak Zeti Akhtar menerima wang daripada syarikat atau akaun bank yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, pada 2015 dan 2016.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, oleh kerana perkara ini melibatkan reputasi bank pusat, gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus perlu melangkah ke hadapan untuk membantah tuduhan tersebut.

“Beliau perlu mengumumkan tindakan yang boleh diambil oleh BNM terhadap laporan itu.

“Kedua, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus mendedahkan jika ada siasatan yang dilakukan terhadap tuduhan tersebut dan adakah tuduhan tersebut benar atau salah.

“Ketiga, Zeti sendiri harus mendedahkan apa tindakan undang-undang yang telah diambil atau akan diambil oleh keluarganya terhadap tuduhan tersebut,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Polis Singapura berkongsi maklumat dengan BNM mengenai transaksi mencurigakan akaun bank milik syarikat suami dan anak Zeti Akhtar, melibatkan wang daripada syarikat atau akaun bank yang dikaitkan dengan Jho Low, pada 2015 dan 2016.

Zeti masih gabenor BNM pada 2015 apabila Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) polis Singapura berkongsi maklumat dengan BNM, mengenai transaksi akaun bank milik Iron Rhapsody Ltd, yang dimiliki Tawfiq Ayman, dan seorang anak lelaki mereka, menurut laporan The Edge.

Iron Rhapsody, menerima USD16.22 juta daripada syarikat atau akaun bank yang dikaitkan dengan Low, pada 2008 dan 2009, kata laporan itu lagi, memetik dokumen yang dikongsi CAD dengan penyiasat di Malaysia.

Zeti “mungkin cukup tahu” mengenai akaun bank yang dimiliki suaminya di Singapura, menurut The Edge, yang membuat rumusan itu berdasarkan dokumen yang ditelitinya.