Malaysia Dateline

2.8% positif boleh bersidang, 0.9% tidak boleh: Mana sainsnya?, tanya bekas Menteri

Tindakan tidak membenarkan Dewan Rakyat bersidang pada Isnin ini dengan alasan takut Covid-19 merebak benar-benar tidak berasas sains, kata bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Ini kerana, pada 23 Julai ketika ujian dibuat sebelum Dewan Rakyat bersidang pada 26 julai, 2.8 peratus atau 53 dari 1925 yang diuji didapati positif Covid-19.

Tetapi, katanya, ketika ujian dibuat pada 29 Julai, yang positif hanya 0.9 peratus iaitu 11 dari 1183 yang diuji Dewan Rakyat diputuskan tidak boleh bersidang.

“Di mana sainsnya? Fikir-fikirkan,” kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu menerusi Twitternya malam tadi sambil memohon perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia #KKMPutrajaya dan Ketua Pengarah Kesihatan #DGHisham.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang hanya tinggal sehari sahaja lagi Isnin ini telah ditangguhkan atas arahan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan perkembangan terbaru COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu surat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin semalam.

Menurut surat berkenaan, Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri bahawa sidang Mesyuarat Khas pada 2 Ogos ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.