Malaysia Dateline

2 Adun Bersatu, 2 Pas dan 1 Umno angkat sumpah Exco Perak

Lima Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Perak selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah tadi.

Mereka adalah Datuk Abdul Yunus Jamahri (Bersatu-Kuala Kurau), Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Bersatu-Tualang Sekah), Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol), Mohd Akmal Kamaruddin (PAS-Selama) dan Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering).

Kelima-lima mereka merupakan Exco yang sama sewaktu pentadbiran Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Selain Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Hisham Hashim.

Pada 10 Disember lalu, lima Adun mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan empat daripadanya adalah Exco sebelum ini iaitu Datuk Zolkafly Harun (BN-Lintang); Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota).

Seorang lagi, Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik) yang turut dilantik merupakan muka baharu.

Barisan Exco Perak terbubar selepas Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai Menteri Besar setelah beliau gagal mendapat sokongan menerusi usul percaya yang dibawa dalam sidang DUN.