Malaysia Dateline

2 ciri utama Ketua Pemuda AMANAH Nasional wibawa, menyatukan

Berikutan krisis pengkhianatan dan keluar parti oleh mantan Ketua Pemuda AMANAH Nasional baru-baru ini, kini Pemuda AMANAH berdepan dengan cabaran dan harus memilih seorang ketua yang baru untuk menerajui Pemuda AMANAH menghadapi pentadbiran Kerajaan Pintu Belakang Perikatan Nasional.

Bekas Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional Wan Anwar Wan Ibrahim mencadangkan agar seorang Ketua Pemuda AMANAH Nasional dipilih berdasarkan kepada 2 kriteria atau ciri iaitu wibawa dan menyatukan.

Katanya, seorang ketua pemuda yang berwibawa adalah yang mempunyai wawasan dan “worldview” yang jelas yang boleh dizahirkan melalui artikulasi penulisan, wacana, forum atau debat umum selain daripada pengalaman pernah memimpin pemuda negeri sebagai bonus.

“Adalah juga lebih baik jika seorang calon Ketua Pemuda itu seorang yang pernah terlibat dalam pentadbiran kerajaan persekutuan Pakatan Harapan walaupun dalam tempoh yang singkat hanya lebih kurang 1 tahun 9 bulan sahaja kerana pengetahuan mengenai “Malaysia” dan perancangan serta pelaksanaan dasar-dasar mengenainya adalah penting dan menambah nilai dalam memimpin organisasi yang bersifat nasional,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Baginya, Ketua Pemuda AMANAH yang berkesan juga adalah sosok yang sepatutnya mampu menyatu-padukan pemuda AMANAH dalam kepelbagaian perbezaan pendekatan dan cara fikir selain mempunyai pemikiran yang bebas daripada sebarang naungan individu tetapi merangkul penglibatan semua pihak.

“Maka adalah lebih baik calon Ketua Pemuda itu adalah bukan daripada kalangan yang memimpin mana-mana kelompok dalam Pemuda AMANAH sama ada sebelum atau semasa tetapi boleh diterima oleh lapisan keluarga besar Pemuda AMANAH.

“Bagi mengisi kekosongan itu, saya percaya bahawa ramai tokoh-tokoh Pemuda AMANAH sama ada secara sedar atau tidak sedar telah ke hadapan dan menonjolkan diri bagi menyambut mantel kepimpinan tersebut.

“Walaupun secara undang-undangnya mereka boleh memilih seorang lagi ahli jawatankuasa pimpinan untuk melengkapkan keseluruhan 27 orang barisan pimpinan nasional Pemuda AMANAH, tetapi secara pentadbirannya adalah lebih mudah bagi mereka hanya untuk memilih dalam kalangan 26 orang yang sedia ada bersama-sama dengan Ketua-Ketua Pemuda Negeri.

“Maka proses pemilihan akan menjadi lebih mudah dan ringkas,” katanya yang mempunyai pengalaman berada selama 4 tahun dalam generasi pengasas dan memimpin Pemuda AMANAH.

Tambahnya, formula undi yang tertinggi semasa pemilihan yang lalu boleh dijadikan sandaran.

“Adalah penting pada ketika ini Pemuda AMANAH bergerak dan dipimpin oleh seorang Ketua Pemuda yang diterima oleh semua pihak sebagai satu “force” yang satu dan bersatu.

Pemuda AMANAH Nasional kini kehilangan ketuanya apabila Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim telah mengumumkan keluar parti dan menjadi Adun bebas susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak baru-baru ini.

Ekoran itu, Pemuda AMANAH akan mengadakan mesyuarat segera bagi menentukan kedudukan Ketuanya.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Exco kerajaan negeri Perak itu yang disifatkan sebagai membelakangkan amanah rakyat.

Pemuda Amanah akan memanggil mesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan kedudukan beliau di dalam Jawatankusa Pemuda Amanah Nasional.