Malaysia Dateline

2 hari sebelum raya baru nak kawal harga barang, sudah terlambat

Tindakan kerajaan mahu menambah bilangan barangan kawalan menjelang dua hari Aidil Fitril sudah terlambat dan dikesali, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

“Sudah terlambat. Raya 2 hari lagi,”kata Fahmi melalui twitter beliau mengulas laporan media tindakan kerajaan mahu menambah bilangan barangan kawalan selepas berita kenaikan barangan memenuhi ruangan media.

Bagi beliau, dalam keadaan PKP, dengan ramai terkesan akibat pemotongan gaji, kehilangan pendapatan atau dibuang kerja, isu harga barang isu pertama yang sepatutnya diselesaikan.

FAHMI FADZIL

“Tapi baru sekarang nak tambah. Anda gagal di mata rakyat,” kata Pengarah Komunikasi PKR itu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menambah 19 barangan harga terkawal lagi di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata ia menjadikan jumlah barangan terkawal di bawah SHMMP adalah 35 barangan.

Katanya, pertambahan barangan itu adalah atas permintaan pengguna dan ia adalah barangan pilihan utama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan turut membabitkan sambutan tiga perayaan iaitu Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Media melaporkan kenaikan harga barangan khasnya barangan basah di seluruh negara bermula dengan kenaikan harga ayam sehingga RM9.50 sekilogram.

Di Kelantan, harga barangan basah khasnya ayam dilaporkan naik sekali ganda, lapor Berita Harian.

Bahan mentah lain seperti santan, sayuran juga lebih mahal berbanding biasa, namun ikan segar masih dijual pada harga biasa.

Peniaga makanan, Mohd Khairul Syafarie Mohd Johari,39 berkata peningkatan harga mula berlaku sejak minggu lalu.

Katanya, jika sebelum ini dia memperuntukkan RM2,000 hingga RM3,000 sehari untuk modal bahan mentah bagi membuat 60 jenis lauk pauk dan kuih di kedainya, kini harga itu meningkat sekali ganda.

Media itu juga melaporkan kenaikan harga barangan di Alor Setar, negeri yang kini bertukar kerajaan.

Tinjauan BH di Pasar Besar Alor Setar mendapati hampir separuh kedai ditutup dan peniaga yang beroperasi mula menjual barangan pada harga lebih tinggi.

Antara barang mentah yang mengalami kenaikan setiap kilogram adalah cili besar daripada RM8 ke RM12, tomato dari RM3.50 ke RM5, timun dari RM1 ke RM3, bunga kubis dari RM4 ke RM6.50 dan sawi dari RM3 ke RM5.