2 kanak-kanak maut, 50 cedera dalam letupan di majlis perkahwinan di selatan Khartoum

2 kanak-kanak maut, 50 cedera dalam letupan di majlis perkahwinan di selatan Khartoum

Sekurang-kurangnya dua kanak-kanak terbunuh manakala 50 orang cedera dalam insiden letupan ketika satu majlis perkahwinan berlangsung di sebuah kejiranan di selatan ibu kota Sudan, Khartoum, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap polis pada Rabu.

“Insiden malang itu berlaku pada petang Selasa di lokaliti Jabal Awliya, yang meragut nyawa dua kanak-kanak dan mencederakan 50 yang lain dengan beberapa orang mengalami kecederaan serius,” kata Hashim Abdel-Rahim.

“Insiden itu berlaku selepas seseorang melemparkan bahan letupan ketika majlis perkahwinan itu berlangsung di kejiranan Mayo dalam lokaliti Jabal Awliya,” katanya.

Beliau berkata usaha siasatan menyaksikan penahanan suspek dan satu kes jenayah telah dibuka terhadapnya di bawah pertuduhan membunuh serta mendatangkan kecederaan.

Hashim berkata siasatan kes diteruskan di bawah pengawasan pihak pendakwaan dan bukti menunjukkan bahawa punca insiden mempunyai kaitan dengan penganjuran majlis perkahwinan itu sendiri.

— BERNAMA