Malaysia Dateline

2 kategori ahli KWSP layak mohon i-Sinar

Para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat permohonan i Sinar secara dalam talian bermula 21 Disember 2020 ini.

Menurut KWSP, mereka yang layak termasuk ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig,  sudah lama tidak mencarum,  hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis tanpa gaji.

Syarat kategori pertama katanya, untuk ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Bagi kategori ini katanya tidak perlu dokumen sokongan, kelulusan akan diberikan secara automatik berdasarkan data dalam KWSP.

“Ahli hanya perlu memohon secara talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020,” kata KWSP dalam kenyataannya.

Untuk kategori ini, KWSP memaklumkan pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2020.

Manakala untuk syarat untuk kategori kedua adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020 yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenalpasti melalui dokumen yang diberikan.

“Untuk melancarkan proses pengesahan KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun atau tuntutan kerja lebih masa.

“Jika dokumen tidak boleh dikemukakan sebarang dokumen sokongan yang lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan,” katanya.

Untuk katagori ini, KWSP memaklumakan ahli boleh memohon secara dalam talian mulai 11 Januari 2020.

Katanya, ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Manakala ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam akaun 1 boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 daripada akaun 1.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.