Malaysia Dateline

2 lagi teknokrat wanita bakal dipancung

Dua lagi teknokrat wanita yang memimpin GLC dijangka akan ditamatkan perkhidmatan mereka bagi membolehkan pemimpin Umno di lantik ke jawatan itu.

Bekas Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Zainun Ali dijangka akan kehilangan jawatan sebagai Pengerusi Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB).

Begitu juga Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim yang kini menjadi Pengerusi Prasarana.

Zainun mula dilantik menjadi Pengerusi MAHB pada 17 Januari 2019 manakala Zaharah mula bertugas di Prasarana mula 20 November 2019.

Menurut Fokus Malaysia, Zainun akan digantikan oleh ahli Parlimen Padang Terap dari Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid manakala Zaharah dijangka akan digantikan oleh ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Sebelum ini, 10 teknokrat wanita telah ditamatkan perkhidmatan mereka oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), seolah-olah satu usaha terancang untuk memancung semua pemimpin wanita yang dilantik dalam GLC oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Tindakan ini telah melenyapkan sama sekali usaha keras yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk memartabatkan kedudukan wanita bermula dengan melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Usaha Kerajaan PH ini dikatakan sebahagian dari usaha untuk memastikan 30% jawatan utama dan eksekutif diambil alih oleh wanita di negara ini.

Pemecatan ini bermula sejak awal pertukaran kerajaan lagi apabila Menteri Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Rina Mohamad Harun sendiri memecat Ketua Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.