2 MP BN bertengkar di lobi Parlimen

2 MP BN bertengkar di lobi Parlimen
Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (dua kanan) bertengkar mulut dengan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (kiri) yang dipercayai akibat salah faham antara mereka pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen HARI INI, -Foto Malaysiagazette.

Lobi Parlimen hari ini bertukar kecoh apabila dua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bertikam lidah secara tiba-tiba.

Memetik laporan FMT hari ini, kejadian itu,  bermula apabila Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said bertindak memarahi Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman dengan perkataan kesat di khalayak ramai.

“Bodoh! Bangang! Apa ni ahli Barisan Nasional lama,” kata Ismail kepada Tajuddin yang berdiri di depannya.

Ia kemudian disambut dengan herdikan Tajuddin.

“You (anda) lah bodoh. Apa? Apa?”

Pemberita ketika itu sedang menemubual Presiden MCA Wee Ka Siong, beberapa meter daripada tempat pergaduhan itu berlangsung.

Tidak lama kemudian, Ismail dilihat mengejar Tajuddin yang menuju ke bangunan pejabat ahli Parlimen pembangkang.

Mereka terus berbalas kenyataan dengan menyebut beberapa perkara termasuk “kongsi gambar”, “anak” dan “dapatkan sokongan”.

Pertelingkahan itu berjaya dileraikan beberapa pegawai keselamatan Parlimen.

Perengkaran itu berlaku dipercayai berkaitan dengan penyebaran gambar di media sosial menunjukkan beberapa Ahli Parlimen Umno berkunjung ke rumah Ismail Mohamed Said.

Ismail ketika ditemui media sempat menjelaskan  beliau berasa tidak puas hati apabila Tajuddin beranggapan gambar rakan-rakannya menziarahi anaknya dijadikan isu kononnya beliau mengadakan pakatan untuk menyokong pemimpin lain.