Malaysia Dateline

2 projek rundingan terus diluluskan tanpa pengetahuan Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin menafikan terlibat dalam sebarang projek yang ditawarkan secara rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menerusi senarai 101 projek yang didedahkan Menteri Kewangan semalam, Zuraida berkata, beliau tidak tahu menahu tentang dua projek tersebut dan mendakwa ianya dibuat tanpa pengetahuannya.

“Ingin saya tegaskan dua projek yang diluluskan kepada KPKT, sewaktu saya menjawat tugas sebagai Menteri dibuat di luar pengetahuan saya.

“Justeru, saya ingin memberikan jaminan bahawa KPKT akan melakukan siasatan membabitkan isu yang timbul, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mendedahkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang membabitkan Kementerian Pengangkutan dengan nilai perolehan sebanyak RM4.47 bilion untuk keseluruhan empat projek.

Daripada jumlah itu, dua projek KPKT membabitkan jumlah RM170.79 juta.

Projek berkenaan merangkumi pemberian kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem kewangan dan perakauan saga yang diberikan kepada syarikat Century Software (Malaysia) Sdn Bhd bernilai RM501,206.37.

Satu lagi projek berkaitan dengan cadangan projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kepong dan Kuala Lumpur bagi menggantikan stesen pemindahan sisa pepejal sedia ada yang diberikan kepada syarikat Bumi Segar Indah Sdn Bhd dengan jumlah RM170,294,400.,