2 sekeluarga maut ditempat kejadian selepas kereta berlanggar dengan pokok

Oleh NASUHA RAHMAN

Dua sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Lendu ketika dalam perjalanan ke Bazar Aidilfitri di Pekan Masjid Tanah di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta Myvi Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, dan penumpang hadapan yang juga bapa saudaranya, Mohd Firdaus Yusof, 37, dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata seorang lagi bapa saudara Muhammad Hasraf Amin iaitu Azizul Hamis @ Jainy, 37, yang duduk di bahagian belakang pula cedera parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati sebelum kejadian, kenderaan dipandu Muhammad Hasraf Amin dalam perjalanan dari Taman Dimensi di Lendu menghala ke arah Masjid Tanah dan ketika melalui Jalan Lendu, kenderaan dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu dan penumpang kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan dalaman manakala penumpang belakang pula cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Alor Gajah dan sedang menerima rawatan di zon merah manakala mayat dua mangsa yang meninggal dunia turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

–BERNAMA

Baca juga: Selangor, N. Sembilan bukan kerusi panas tapi belum capai kata sepakat