2 sekolah di Malaysia duduki 10 teratas terbaik dunia

Oleh KIM SYAZIE

Dua buah sekolah di Malaysia merekodkan kejayaan julung kalinya apabila disenarai pendek dalam kelompok 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023.

Dua sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai, Pulau Pinang yang tersenarai dalam kategori Inovasi manakala SK Kanchong Darat, Selangor tersenarai dalam kategori Gaya Hidup Sihat.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada kedua-dua sekolah tersebut.

“Salut saya buat warga pendidik dan anak-anak atas pencapaian ini, semoga terus mengorak langkah mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Menurut laman sesawang World Best School Prizes yang dianjurkan T4 Education, platform yang berpangkalan di UK untuk pendidik dan sekolah, menawarkan lima hadiah bagi meraikan sekolah yang telah memberikan impak bersinigfikan kepada pelajar mereka, komuniti dan juga masyarakat.

Pemenang dari lima ketegori iaitu Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Menangani Cabaran dan Menyokong Gaya Hidup Sihat, akan menerima sebahagian daripada sumbangan bernilai AS$250,000 (RM1.15 juta) untuk mengembang dan mempertingkatkan lagi projek pendidikan mereka.

Pengumuman tiga finalis terbaik untuk setiap kategori akan dibuat pada September manakala penyampaian hadiah dijadualkan Oktober.

Pada 2022, SK Kempadang, Pahang telah tersenarai sebagai tiga sekolah terbaik dunia dalam kategori Inovasi, manakala SMK Kampong Jawa tersenarai 10 terbaik kategori Menangani Cabaran.

Baca juga: Terasa dekat dengan cerita ‘Perempuan itu’, wanita kongsi balasan sondol suami orang