Siapa sangka hanya dalam tempoh sejam, dua tan ayam dan lapan ekor lembu bersama 500 kilogram (kg) kerang licin di Jualan Termurah Madani (JTM) di Parlimen Bukit Gantang, Perak pagi tadi.
Difahamkan, pengunjung melibatkan anggaran lebih dari 2,000 orang sudah mula berbaris seawal pukul 7 pagi di lokasi jualan diadakan iaitu Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, Kampung Benggali.
Menurut Ahli Parlimennya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, jualan yang dibuka kepada orang awam seawal jam 8 pagi itu bagaimanapun selesai hanya dalam tempoh sejam.
Jualan beras putih tempatan (BPT) turut mendapat sambutan hangat dalam program tersebut manakala barangan kering juga ditawarkan dengan potongan harga sebanyak 30 peratus, lapor Berita Harian.
“Daging dan tulang lembu segar yang disembelih malam tadi, kita jual hanya RM28 sekilogram. Manakala kepak ayam pula kita cuma jual dengan harga 50 sen sahaja.
“Selain itu, beras putih tempatan (BPT) sebanyak 1,000 kampit atau 10 tan turut mendapat sambutan. Bagi barang kering pula kita menawarkan 30 peratus potongan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Syed Abu Hussin memaklumkan bahawa pihaknya menganjurkan jualan murah itu untuk membantu dan memudahkan urusan rakyat bagi mendapatkan barangan termurah menjelang Aidilfitri.
Berikutan menerima sambutan yang menggalakkan, program Jualan Termurah Madani (JTM) berkenaan bakal dilanjutkan esok dengan tambahan jualan daging dan tulang lembu.
Baca juga: Bangunan pencakar langit setinggi 30 tingkat runtuh serta merta