Malaysia Dateline

2 timbalan menteri dituntut mohon maaf

Mahasiswa Pakatan Harapan menuntut agar dua Timbalan Menteri Perikatan Nasional (PN) memohon maaf kepada keluarga Veveonah Mosibin selepas pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dilabel sebagai menipu.

Tegasnya, tuduhan berat yang dilemparkan terhadap Veveonah menggambarkan kerajaan sama sekali tidak mengendahkan isu realiti Mahasiswa, malah cuba menutup kelemahan mereka dengan menuduh dan membuli anak muda.

Mahasiswa PH turut menggesa dua Timbalan Menteri di Kabinet Muhyiddin agar segera mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan akses internet yang meruncing lebih-lebih lagi ketika semua Universiti menjalankan pembelajaran atas talian

“Mahasiswa PH ingin memohon kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk campurtangan hal ini kerana Veveonah merupakan mahasiswa yang menjadi tanggungjawab Datuk Dr Noraini Ahmad.

“Kesombongan dan Ketidakpedulian kerajaan PN adalah signal yang jelas untuk menolak mereka di dalam PRN Sabah dan PRU-15 akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Mahasiswa AMANAH, Mahasiswa Keadilan Malaysia (PKR), dan Mahasiswa Roket (DAP).

Di Twitter, orang ramai mula mempersoalkan di mana keberadaan tiga Menteri yang sepatutnya tampil mempertahankan Veveonah.

Menteri yang disebut termasuklah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.