Malaysia Dateline

20 kawasan hutan lipur di Kedah berpotensi sebagai tarikan pelancong

Sebanyak 20 kawasan hutan lipur di negeri Kedah berpotensi untuk dijadikan kawasan rekreasi dan sekaligus sebagai tarikan pelancong.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri Kedah, Simon Ooi Tze Min.

Jelasnya, lima dari kawasan tersebut berada di Pulau Langkawi dan seharusnya kawasan-kawasan tersebut diberi perhatian bagi memastikan kelestarian serta keindahannya senantiasa terpelihara.

“Kawasan Hutan Simpan Ulu Muda harus dipercepatkan usaha dan tindakan bagi menjadikannya sebagai taman negeri.

“Kerajaan negeri Kedah juga optimis usaha tersebut mampu untuk merancakkan sektor eko-pelancongan terutamanya melibatkan pencinta alam dari seluruh dunia.

“Semua agensi seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perikanan dapat menyegerakan usaha ini, ” tegasnya.

Menurut Simon lagi, selain itu agensi lain yang turut terlibat adalah Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda.

Tambah beliau, kedudukan strategik negeri Kedah antara Pulau Pinang dan Thailand diyakini mampu untuk menarik lebih ramai pelancong.

Selain itu katanya, Hutan Ulu Muda serta seluruh isi kandungannya merupakan aset yang amat penting bagi negeri Kedah dan perlu dipelihara bagi mengekalkan kelestariannya.

Ia berkata demikian ketika Seminar Ulu Muda 2019 anjuran Persatuan Pencinta Alam Malaysia pada Isnin.