Selepas hampir 20 tahun menjual nasi ayam dengan harga RM1.90, seorang peniaga akhirnya akur dengan kegawatan ekonomi dan meningkatkan harga jualannya kepada RM3.
Harga tersebut boleh dikatakan murah jika dibandingkan di kawasan lain yang kini sukar untuk mencari Nasi Ayam di bawah harga RM5.
Disebabkan kenaikan harga tersebut, pengusaha kedai nasi ayam di Besut ini mendakwa mereka teruk dikecam hanya kerana keputusan untuk naikkan harga jualan.
Menerusi TikTok, @suhaidasuu, wanita itu meluahkan rasa terkilan dengan sikap pelanggan yang marah akan kenaikan harga tersebut.
“Hampir 20 tahun kami berniaga nasi ayam RM1.90 namun dengan ekonomi sekarang kami terpaksa naikkan harga nasi ayam menjadi RM3.
“Namun masih ada yang kecam dengan harga RM3 tu, kadang rasa down (penat) untuk berniaga. Korang rasa mahal lagi ke harga tu,” ujarnya dalam video tersebut.
Walaupun harga dinaikkan, Suhaida memaklumkan mereka amat mementingkan kualiti dan kuantiti.
Malah jika dilihat daripada video tersebut, kuantiti nasi dan ayamnya bersesuaian dengan harganya itu.
“Tengoklah nasi pun banyak, ayam pun besar-besar tau. Alhamdulillah masih ada yang memahami dan terus support (sokong) kami,” tambahnya.