Malaysia Dateline

20 tahun menyewa, kini miliki rumah sendiri

Lebih 20 tahun menyewa rumah awam dengan kos RM350 sebulan, Norhairani Jaafar, 39, memasang impian mahu memiliki rumah sendiri namun keluarganya kurang berkemampuan dengan pendapatan suaminya yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Hari ini, senyuman gembira terukir di bibir Norhairani, seorang suri rumah apabila impiannya itu menjadi kenyataan setelah menerima sebuah rumah menerusi skim Rumah Peduli diserahkan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Ibu kepada tiga anak lelaki berusia 11 hingga 15 tahun itu telah lebih lima kali berusaha memohon bantuan rumah tanpa pernah berputus asa.

“Sejak beberapa tahun lepas, beberapa kali saya turun naik ke pejabat berkaitan untuk mohon bantuan tetapi jawapan yang diberikan adalah mengecewakan antaranya hal status tanah, tidak memenuhi syarat dan sebagainya.

“Namun, awal Januari 2019, saya cuba lagi sekali dan alhamdulillah ada rezeki untuk kami sekeluarga selain gembira dengan bantuan kerajaan negeri dan berharap dapat beraya di rumah baharu tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan rumah berkenaan di Rembia di sini, hari ini.

Rumah Peduli merupakan sebuah inisiatif kerajaan negeri bagi memberikan rumah sendiri kepada rakyat berpendapatan rendah yang mempunyai tanah sendiri dengan kos pembinaan berjumlah RM32,000 untuk dua bilik dan RM37,500 untuk tiga bilik.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri komited untuk terus membantu rakyat menyelesaikan masalah perumahan terutama bagi golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sekali gus membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih baik dan selesa.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta tahun ini untuk inisiatif Rumah Peduli,” katanya.