20 tahun bukanlah satu jangka masa pendek, pimpinan sudah bertukar banyak kali, tidak kira perdana menteri mahupun menteri besar.
Namun hingga kini masih tidak selesai dan terbaru rakyat negeri Kelantan untuk bersabar lagi tiga tahun apabila masalah air dijangka selesai pada tahun 2027.
Menurut Sinar Harian, hal tersebut dimaklumkan Exco Jawantankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin.
Tambahnya, hal ini kerana semua loji-loji yang dinaik taraf dan dibina akan siap sepenuhnya pada tahun tersebut.
“Jadi pada 2028 nanti, Kelantan akan mempunyai lebihan bekalan air,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Rancang tukar paip lama
Pada masa sama, kerajaan negeri ketika ini dalam perancangan untuk melaksanakan kerja-kerja menukar paip lama yang sudah reput.
Malah paip yang tidak mampu bertahan lagi sejauh 5,000 kilometer (km) akan ditukar secara beransur-ansur.
Ujarnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 1,000 km perlu ditukar segera.
Mampu tukar paip pada jarak 150 km sahaja setahun
Dr Izani memberitahu, bagaimanapun setakat hari ini kerajaan negeri hanya berupaya melakukan kerja-kerja menukar paip pada jarak 150 km sahaja dalam tempoh setahun.
Dalam pada itu, melalui perancangan terbaharu kerajaan negeri akan berbincangan dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam meningkatkan keupayaan untuk menukar paip-paip air tersebut.
“Yang meluluskan SPAN, yang lantik kontraktor adalah PAAB. Kita menunggu perkara ini untuk selesaikan sedikit demi sedikit.
“Insya-ALLAH, kita akan cuba angkat kertas kerja kepada Perdana Menteri supaya mempercepatkan mengenai penukaran paip-paip ini.
“Jika kita mampu lantik ramai kontraktor kerja tukar paip dari 100 km dapat ditingkatkan kepada 250 km setahun,” katanya.
Menurut Dr Izani, permohonan peruntukan untuk kerja-kerja akan dibuat mengikut kemampuan.