200 India Muslim sertai AMANAH di Negeri Sembilan

200 India Muslim sertai AMANAH di Negeri Sembilan

Sayap India Muslim adalah antara salah satu sayap organisasi selepas pemuda dan wanita Parti AMANAH Negara (AMANAH) yang dicadangkan oleh Presiden Mohamad Sabu pada April lalu bertujuan bagi menjadikan AMANAH dilihat lebih inklusif.

Semalam telah berlansung program pelancaran pejabat Sayap India Muslim dan penyerahan 200 borang ahlinya menyertai AMANAH di Negeri Sembilan.

Menurut Pengerusi Perhubungannya, SS Hassan Ghany Saidu kebanyakan ahli sayapnya adalah dikalangan ahli parti dan NGO yang ingin beralih arah menyokong perjuangan AMANAH setelah sayap ini ditubuhkan di peringkat nasional.

“AMANAH satu-satunya parti yang memberi ruang kepada kaum India Muslim di negara ini.

“Kami melihat AMANAH memperjuangkan umat Islam tidak kira kaum demi untuk menyatupadukan rakyat di negara ini,” ujar beliau ketika menghubungi Malaysia Dateline.

SS Hassan ketika menyerahkan borang keahlian Sayap India Muslim kepada Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan Dzulkefly Mohd Omar di pejabat sayap yang  baharu beroperasi  di Seremban.

Dalam menghadapi kempen pilihan raya beliau berkata, semua ahlinya akan digerakkan untuk menyokong calon AMANAH dan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.

“Kita akan mengerakkan semua ahli untuk membantu calon AMANAH di negeri ini bagi memastikan mereka menang di kerusi Parlimen dan Dun yang dipertandingkan,” ujarnya.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)  AMANAH mempertaruhkan calon-calonya di dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi negeri.

Satu majlis ringkas telah diadakan dengan penyerahan borang ahli kepada Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan Zulkefly Mohd Omar yang juga calon Parlimen Jempol.

Turut dilancarkan adalah Pejabat Perhubungan Sayap India Muslim Negeri Sembilan bertempat di Jalan Abdul Hamid, Seremban.

Sayap India Muslim sudah ditubuhkan di peringkat kebangsaan yang diketuai oleh Presiden Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia Noorul Hassan Sahul Hameed pada April.

Dalam kenyataan Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata AMANAH berjanji sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu ia akan memproses permohonan kewarganegaraan berdasarkan merit pemohon.

Mohamad berkata sokongan kaum India kepada Pakatan Harapan adalah satu gerakan baru kerana etnik itu secara tradisinya menyokong BN.

Beliau menyasarkan untuk membawa 5,000 etnik India Muslim sebagai ahli menjelang pilihan raya umum ke-14.

Mengikut bancian pada tahun 2010, terdapat seramai 78,702 India Muslim di Malaysia yang mewakili 4.1 peratus penduduk Malaysia dan 0.3 peratus rakyat Malaysia.

9.3
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 10.0