Malaysia Dateline

200 hektar Hutan Simpan Gunung Besout diteroka haram lebih 15 tahun

Kawasan hijau dalam kurungan merah adalah sebahagian HS Gunung Besout yang dikenalpasti diteroka secara haram.

Seluas kira-kira 200 hektar Hutan Simpan (HS) Gunung Besout diteroka secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab lebih 15 tahun lalu.

Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) mendedahkan sebahagian besar kawasan itu telah ditanam dengan kelapa sawit dan pokok buah-buahan.

Pegawai Lapangan KUASA, Taufik Salleh berkata, penerokaan haram di sebahagian HS Gunung Besout itu telah memusnahkan litupan dan fungsi kepelbagaian hayat hutan.

Menurutnya, pencerobohan di kawasan tanpa petak atau kompartmen di selatan HS itu juga menjejaskan pencapaian Pengurusan Secara Berkekalan (SFM).

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa negeri untuk tegas mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya serta kembali memulihara sebahagian HS di Kuala Slim itu.

“Kawasan yang diteroka haram itu perlu dikekal sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) disamping perlu dipulihara semula dibawah Program Restorasi / Pemuliharaan Kawasan Terosot yang dilaksana oleh Jabatan Perhutanan,” tegas Taufik.

Beliau menjelaskan HS tersebut dari semasa ke semasa telah dieksploitasi untuk tujuan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan) manakala sebahagian lagi telah dimansuhkan sejak diwartakan pada 21 November 1913.

Pokok kelapa sawit ditanam sehingga ke tebing Sungai Bernam yang bersempadan negeri Selangor.