Malaysia Dateline

200 kali sehari berkokok, ayam jantan jiran bakal diheret ke mahkamah

200 kali sehari ayam jantan milik jiran berkokok menyebabkan sepasang suami isteri tidak tahan lalu bertindak memfailkan saman ke atas jiran mereka.

Pasangan suami isteri ini mendakwa mereka tidak dapat berehat dengan tenang sejak sekian lama bunyi bising ayam jantan bernama Magda itu.

Akibat tidak tahan mendengar bunyi ayam jantan peliharaan Friedrich-Wilhelm, 76, dan isterinya, Jutta yang tinggal di di Bad Salzuflen, barat Jerman tekad heret jiran ke mahkamah.

Oddity Central melaporkan ayam jantan mula berkokok sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan) setiap hari dan tidak berhenti berbunyi sehingga waktu senja apabila pemiliknya mengurung haiwan itu bersama ayam-ayam lain.

Friedrich dan Jutta difahamkan beberapa tahun cuba berunding dengan jiran mereka mengenai perkara itu namn tiada kata putus lalu mereka membuat keputusan membawa perkara itu ke mahkamah.

“Jiran kami enggan beralah mengenai isu ini dan kami mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan kehidupan seperti itu atau menang dalam perbicaraan.

“Kami tidak boleh menggunakan kawasan taman dan tidak boleh membuka tingkap. Kami sudah tidak tahan lagi,” kata Friedrich.

Bahkan, Friedrich dan Jutta juga dilaporkan telah merakam bunyi kokokan haiwan itu sebagai bukti mahkamah.

Menurut peguam mereka, Torsten Gieseke, ayam jantan terlebih aktif seperti Magda tidak boleh berada di kawasan perumahan yang tenang sambil menambah, seorang lagi jiran terpaksa berpindah dua tahun lalu kerana tidak tahan dengan bunyi bising Magda.

Bunyi kokokan Magda juga turut diukur sekuat 80 desibel, bersamaan dengan bunyi bising restoran yang dipenuhi pengunjung atau jalan raya dengan kesesakan lalu lintas.

Hakim Mahkamah Daerah Lemgo dijadualkan mendengar kes itu tidak lama lagi.

Baca juga: Tiket konsert RM598, duduk jauh Billie Eilish pun tak nampak, sound pun tak ‘clear’-Peminat Malaysia kena scam

Baca juga: Ira Kaza dipanggil JAWI, kes ganggu rumahtangga Puteri Sarah