Malaysia Dateline

200 penduduk Kpg Pong kecewa Adun BN tidak peduli jalan berlubang, bahaya

seramai 200 penduduk Kampung Pong, Pengkalan Hulu, Perak melahirkan rasa kecewa setelah jalan kampung yang menjadi laluan utama mereka sejauh 16 kiliometer tidak diselenggara dengan baik sejak sebelum pilihan raya umum ke 14 lagi.

Kini masalah tersebut semakin meruncing apabila kebanyakan laluan yang digunakan oleh penduduk tersebut sudah rosak dan berlubang-lubang di setiap laluan.

Tinjauan yang dibuat mendapati hanya laluan tersebut sahaja yang digunakan oleh penduduk Siam dan juga orang Asli yang mendiami Kampung Pong tersebut untuk keluar masuk ke kampung tersebut.

Malah ramai antara mereka hanya mengharapkan laluan tersebut untuk keluar ke Pekan Pengkalan Hulu maupun Klian Intan.

(kiri) Malika Win dan (kanan) Aiwan Inumee

Penduduk kampung tersebut, Malika a/p Win berkata, mereka telah pun membuat aduan berkal-kali kepada pihak berkuasa sejak beberapa tahun yang lalu.

Namun begitu katanya, masalah ini tidak mendapat perhatian wakil rakyat BN yang mewakili kawasan tersebut sehingga kini.

Manakala Aiwan a/l Inuwee, yang juga merupakan penduduk asal kampung tersebut turut mengharapkan jalan yang ada untuk memasuki kawasan tersebut diturap dan diselenggara dengan baik.

“Sekiranya waktu malam kami amat bimbang kerana sepanjang laluan tersebut ianya bengkang-bengkok dan mempunyai jalan yang curam.

“Sementara itu di bawah laluan tersebut juga terdapat sungai dan tidak mempunyai tebing atau penghadang.

“Sekiranya hari hujan atau waktu malam, kami jarang keluar kerana keadaan yang amat gelap dan merbahaya kepada penduduk, ” tegasnya.

Ayub Abdul Rahman

Ketua Bahagian Bersatu Gerik , Ayob Abdul Rahman yang turut sama turun padang meninjau kawasan tersebut bersama-sama dengan Setiausaha Kerja Bersatu Negeri Perak, Yusof Nordin berkata, sepatutnya Adun BN yang menjadi wakil rakyat kawasan tersebut sejak penggal yang lalu lagi menyelesaikan masalah ini.

Namun begitu ujarnya, kegagalan wakil rakyat BN tersebut telah menyebabkan penduduk Kampung Pong terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga kini.

“Perkara ini akan dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri Perak supaya masalah penduduk ini dapat diselesaikan.

“Tinjauan yang dibuat ketika ini adalah bagi melihat sendiri masalah yang diadukan oleh penduduk.

“Dengan turun padang begini, setidak-tidaknya kita mendapat gambar yang sebenar masalah yang sedang mereka hadapi dan belum dapat diselesaikan sejak sekian lama, ” tambah beliau.