Malaysia Dateline

2,000 hadiri Konvensyen PKR Sarawak 2019

Seramai 2,000 ahli Parti Keadilan Rakyat(PKR) telah menghadiri Konvensyen PKR Negeri Sarawak 2019.

Konvensyen kali ini berlangsung di Hotel Pullman di Miri dengan kebanyakan ahli telahpun membuat pendaftaran sejak malam tadi.

Walaupun diselubungi kontroversi kerana tidak mendapat kelulusan Majlis Pimpinan Negeri (MPN),tetapi konvensyen tetap diteruskan dengan kehadiran Presiden Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli-ahli yang hadir adalah terdiri dari 29 cabang PKR di negeri ini.

Ini termasuk kehadiran kesemua 11 Ketua Cabang yang tidak menyokong Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian di samping dua lagi Ketua Cabang yang menyokong beliau iaitu Roland Engan(Baram) dan Abun Sui Anyit (Hulu Rejang).

Turut hadir ialah Ketua Angkatan Muda Keadlian (AMK) Sarawak, Saifunnizam Sam.

Terdahulu, Penasihat PKR Sarawak, Datuk Hafsah Harun dalam ucapannya mengajak ahli-ahli parti supaya mengimbau kembali kenangan bermulanya parti tersebut bertapak di negeri ini.

Katanya, adalah bukan mudah untuk merentasi halangan dan dugaan yang ditempuhi oleh beliau dan rakan seperjuangan lain dalam membawa perjuangan parti di negeri ini.

“Saya berharap agar segala kerja keras yang kita bersama-sama lakukan sebelum ini akan menjadi panduan dan iltizam dalam memajukan parti di seluruh Sarawak, ” tegas beliau.

Justeru,beliau melahirkan perasaan gembira dan berpuas hati kerana kehadiran ahli-ahli parti pada konvensyen kali ini yang melepasi sasaran urusetia walaupun dibayangi kontroversi.

” Alhamdulilah kehadiran ahli-ahli telah melepasi sasaran dengan pihak urusetia bertungkus lumus sejak MPN membatalkan penganjuran.

“Apa pun, konvensyen tetap diteruskan selepas diambil alih oleh Sekretariat Pusat yang diketuai Nik Nazmi Nik Ahmad,” ujarnya.